Sunday, April 28, 2013

Catatan dari Pinggir Kota 7


 Buku baru

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum rakan PUSPANITA dan pembaca yang dirahmati Allah.
Dulu, blog nafastari  sentiasa saya ikuti, kemudian bersambung dengan blog mawarnafastari. Suami saya, akudenanz ialah rakan blog Allahyarham Ahmad. Saya sangat kagum dengan ketabahan Mawar. Apabila mendapat tahu catatan Allahyarham Ahmad akan dibukukan, saya tidak sabar menanti. Walaupun semua catatan dalam blog Allahyarham telah saya baca, tetapi saya mahu memiliki buku yang diterbitkan.
     26 April 2013, hari pertama Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, suami menyerahkan buku Diari Seorang Diplomat: Hikmah yang Tersirat setelah pulang dari bertugas di PBAKL itu. Kata suami, buku itu diterbitkan oleh sahabat baiknya, Sdr. Abu Hasan Morad melalui syarikat miliknya, http://www.galeriilmu.com.my/.
     Kepada rakan-rakan pembaca sekalian, sila dapatkan buku yang istimewa ini.
     Tahniah dan salam untuk Mawar dan anak-anak, bersama-sama iringan Alfatihah untuk Allahyarham Ahmad.

Friday, April 26, 2013

Catatan dari Pinggir Kota 6

Anakanda saya yang akan menduduki SPM tahun ini. Doakan kejayaan dia.
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum rakan PUSPANITA dan pembaca yang dirahmati Allah.
     Apabila mendengar berita tentang kejayaan para pelajar dalam SPM baru-baru ini, saya berdebar-debar. Tahun ini anak kedua saya akan menduduki peperiksaan tersebut. Sedaya upaya, saya memberikan tumpuan kepadanya dalam pelajaran. Termasuk juga anak ketiga saya yang akan menduduki PMR. Inilah sebabnya Allah menentukan, saya bersara awal, untuk memberikan perhatian kepada anak-aanak.
     Saya teringat anak kedua saya ini, semasa menunggu keputusan PMR dulu.
     Hari tu, saya tidak dapat menahan perasaan. Pagi 13 November 2008, saya berasa tidak tentu arah. Apa yang saya buat serba tak kena. Di rumah emak, saya menunggu dengan penuh debaran. Deringan telefon bimbit pada pukul 10.45 pagi itu benar-benar membuatkan jantung saya berdegup kencang.

Mendengar suara itu, berserta tangisannya, saya terus menangis. Sungguh ... saya sangat terharu. Emak kehairanan. Abah yang berada di tingkat bawah menerpa ke atas.

Itulah tangisan gembira saya. Saya amat terharu. Saya sungguh gembira. Saya amat bersyukur kepada Tuhan Yang Maha Esa. Doa saya untuk melihat kejayaan anak-anak telah dimakbulkan-Nya. Alhamdulillah!

Tahniah anakku. Mama sayang kamu. Kamu telah buktikan, 5A bukan mustahil untuk dicapai.
Terima kasih Tuhanku.
Syukur Ya Allah!

Thursday, April 25, 2013

Catatan dari Pinggir Kota 5

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum rakan PUSPANITA dan pembaca yang dirahmati Allah.
     Untuk pengetahuan ahli PUSPANITA, saya sekarang menerima tempahan kek. Pelbagai jenis kek yang anda suka, macam kat kedai juga. Bezanya, saya buat di rmah, dan kek saya segar. Bila ada tempahan baru saya buat. Jadi, tak perlu risau dari segi kesegaran. Dari segi rasa, boleh tanya kebanyakan staf DBP yang mengenali saya. Sila layari blog kek saya http://mycakesz.blogspot.com
     Saya juga menerima tempahan secara tetap daripada Serambi Katering. Apabila mereka menerima tempahan untuk majlis perkahwinan, pertunangan atau apa-apa saja majlis, mereka menempah kek hantaran daripada saya. Di sini saya sertakan beberapa jenis kek yang pernah ditempah oleh Serambi Katering.
 



 



Wednesday, April 24, 2013

Catatan dari Pinggir Kota 4

Suami saya sedang menyimen. Orang itu berdiri di tempat yang bertanda X, di depan
pintu rumah saya. Dia memandang ke sebelah kanan, rumah jiran saya yang cantik itu.
Pencuri, Pengintip, Penjahat?

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum rakan PUSPANITA dan pembaca yang dirahmati Allah. 
     Mungkin agak menghairankan tajuk post saya ini. Tapi, itulah yang berlaku petang semalam. Dan, saya masih berdebar sehingga ke hari ini. Begini ceritanya:
      - Selepas menghantar anak ke kelas tusyen, saya balik ke rumah, lebih kurang pukul 5.30 petang. Semasa keluar tadi, saya memang tidak menutup pagar, supaya bila balik, saya terus masuk dan tak perlu turun kereta untuk buka tutup pagar. Saya masuk ke dalam rumah dan mengunci grill dan pintu hadapan. Dahaga, saya terus ke dapur. Semasa sedang minum, saya dengar seperti ada orang berjalan di hadapan rumah. Bunyi geseran selipar jelas kedengaran. Saya agak, mungkin anak jiran sebelah keluar jemur pakaian.
     Sekilas memandang ke hadapan rumah, saya ternampak kelibat seseorang masuk ke kawasan rumah. Saya mengintai melalui celahan langsir yang sedikit terbuka. Nampak motosikal, tapi bukan motosikal suami saya. Kemudian saya nampak seseorang bertopi keledar sedang melihat ke arah dinding rumah, yang bersebelahan dengan jiran saya.
     Saya beranikan diri, membuka pintu dan segera menegur orang itu. (Tapi, grill masih berkunci).
     "Ye. Ada apa?" Saya tanya.
Mendengar suara saya, serta-merta dia melangkah ke motosikal dan kelam-kabut berlalu dari situ. Saya berdebar. Segera mencari kunci kereta, mencapai tudung dan menghidupkan kereta. Saya cuba mengejar untuk melihat nombor pendaftaran motosikal itu. Tapi saya terlambat. Dia hilang entah ke mana.
     Saya menceritakan hal itu kepada suami yang tiba ke rumah tidak lama selepas itu. Kata suami, lain kali jangan berani-berani mengejar orang yang tak dikenali. Mana tahu, dia ada senjata. Merbahaya! Masa tu saya memang tidak teringat bahaya. saya tahu dia berniat jahat, dan saya mahu dia ditangkap.
     Kata suami lagi, mungkin dia tidak berniat apa-apa ke atas rumah kami. Tapi, dia mengintai rumah jiran saya. maklumlah, rumah tu nampak mewah setelah diubah-suai ratusan ribu ringgit. Rumah kami, tak ada apa-apa pun nak diintai. Tengok dari luar pun orang dah tahu apa isi di dalam. Rumah jiran saya tu, siap dengan kamera dan CCTV. Mungkin dia sedang memerhatikan kedudukan kamera, dan sedang merancang sesuatu.
     Saya tidak terfikir pula, lebih baik menelefon pihak polis semasa orang itu masih berada di kawasan rumah saya.
     Ini peringatan untuk saya: Apa-apa hal pun, mesti tutup pagar, dan sentiasa berwaspada dengan keadaan sekeliling.
     Ini juga antara cabaran yang perlu saya hadapi sebagai suri rumah sepenuh masa. Semoga menjadi pengajaran juga untuk pembaca semua.   
    

Tuesday, April 23, 2013

Catatan dari Pinggir Kota 3

Saya juga seorang ibu.
Digital Painting "A SHOULDER TO CRY ON" karya suami saya.
Saya sangat sukakan lukisan ini. Thanks to my lovely hubby. 
IBU: Syurga di Telapak Kakinya
SUAMI: A Shoulder to Cry On
 
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum rakan PUSPANITA dan pembaca yang dirahmati Allah.
     Rutin saya setiap pagi, menonton siaran tv setiap pagi, bermula 6.30 pagi hingga 8.00 pagi. Setiap chanel tv memaparkan siri keagamaan. Apabila chanel yang saya tonton menyiarkan iklan, saya beralih ke cahnel lain: TV3 - TV1 - TV9 -- TV hijrah. Penceramahnya terdiri daripada ustaz dan ustazah, serta pakar motivasi.
     Pelbagai topik yang diperkatakan. Terlalu banyak pengajaran yang saya peroleh. Seakan tidak mahu melepaskan masa berharga itu, kecuali ada hal yang memaksa saya untuk tidak menontonnya. Saya bersyukur kepada Allah, setiap pagi dapat menjamu jiwa dengan cara sebegini, dan memperingatkan saya yang kadangkala lalai dengan urusan seharian. Saya tahu, ramai yang tidak sempat mengikuti siaran pagi ini, kerana perlu bergegas ke tempat kerja. Memang, kerja juga satu ibadah, yang perlu dilakukan untuk mendapatkan rezeki bagi meneruskan kehidupan.
     Pagi tadi, seorang ustazah yang bersiaran dari perkarangan UIAM Gombak, bercakap tentang ibu. Tentang perlunya restu dan doa ibu terhadap kita. Katanya, doa ibu paling cepat dimakbulkan. Maka, setipa hari, kalau boleh, sebelum ke tempat kerja, telefon ibu, mohon restu dan doa daripadanya, supaya hidup kita sentiasa diberkati.
     Bercakap soal ibu, saya setiap kali menelefon ibu, akan bercakap panjang, sehingga putus line (sebenarnya kehabisan kredit panggilan -- he heh he), dan ibu akan menelefon saya semula sebab dia menggunakan talian rumah. Suami akan senyum melihat saya. Dia dah faham sangat, kalau telefon ibu, mesti cakap lama-lama.
     Saya juga teringat cerita suami, tentang kawannya yang kematian ibu sejak kecil. Setelah berumah tangga, kawannya itu mendapat isteri yang juga kematian ibu sejak kecil. Jadi, dia tidak dapat merasa kasih ibu dan ibu mertua. Secara berseloroh, kawan itu berkata, dia sangat teringin merasai kasih sayang seorang ibu, walaupun ibu mertua. Jadi, dengan sebab dan alasan itu, maka dia akan mencari seorang isteri (kahwin lagi) yang mempunyai ibu, demi mendapatkan kasih daripada ibu mertua. Ha ha ha. Sangat bijak kawan itu berfikir, kan? Bagaimana dengan anda, jika suami tergolong dalam golongan seperti itu?
   Saya? Maaflah wahai suami, jangan nak mengada-ada ya!
Saya tahu, suami saya sangat suka lagu ini --> A Shoulder to Cry On nyanyian Tommy Page. Dan ... saya pun sukakannya!

    I'll be your shoulder to cry on
    I'll be yur friend to rely on
 Side by side,
With you till the end,
I'll always be the one to firmly hold your hand,
No matter what there said or done,
Our love will always continue on.

Monday, April 22, 2013

Catatan dari Pinggir Kota 2

Majlis menandatangani Akujanji Pelajar yang akan menduduki peperiksan tahun ini.
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum pembaca yang dirahmati Allah.
Tengah hari. Sambil-sambil menunggu anak keluar dari sekolah, saya mengeluarkan surat yang anak saya berikan semalam. Surat dari pihak sekolah, bertandatangan Pengetua, meminta sumbangan RM100 bagi seorang pelajar untuk melaksanakan beberapa aktiviti yang telah dirancang.
     Saya termenung panjang. RM100!! Maknanya, saya kena mengeluarkan RM200 untuk tujuan ini. Menurut surat, jumlah ini telah dipersetujui pada mesyuarat PIBG yang lalu. Saya tidak hadir kerana ada hal yang lebih mustahak. Bayangkan, untuk melaksanakan aktiviti, ibu bapa yang terpaksa menanggung perbelanjaan. Kalau setakat 20, 30 ringgit, saya tidaklah berasa terkilan.
     Lants, saya teringat, sebuah sekolah agama di daerah saya - kerana kecerdikan Guru Besar dan pihak pentadbirannya - telah menerima sumbangan sebuah bas yang dimohon daripada kerajaan negeri. Harga bas itu melebihi RM90 ribu. Saya kagum dan tabik kepada Guru Besar dan pihak pentadbirannya yang berani dan bijak membuat pilihan. Mereka tidak mengharapkan wang sumbangan ibu bapa untuk tujuan itu. Soalan saya, kenapalah sekolah anak saya itu tidak berfikiran sedemikian. kalau dilihat pada jawatankuasa yang menerajui PIBG, nama-nama yang tersenarai bukan calang-calang. Masing-masing berjawatan tinggi, yang gaji mencecah lima angka.
     Saya hanya beristighfar. Semoga Allah membantu saya, dan saya bukanlah sesiapa untuk bercakap dan membantah keputusan mereka.

Catatan dari Pinggir Kota 1

Gambar hiasan: Digital Painting "KEHENINGAN TASIK" hasil karya suami saya.
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum pembaca budiman.
HARI ini, 23 April 2013 bermula blog baru yang saya namakan "curahan rasa dari pinggir kota". Sebenarnya banyak yang akan saya catatkan melalui blog yang teramat baru ini. Pengalaman 11 tahun meninggalkan alam pekerjaan, alam yang setiap hari penuh dengan dugaan dan cabaran demi memenuhi kehendak majikan.
     Namun, alangkah terlebih banyak dugaan dan cabaran menjadi suri rumah sepenuh masa, yang sebelum ini tidak pernah saya bayangkan akan sayan alami pada usia yang masih "agak muda" untuk meninggalkan suasana riang bersama-sama teman sekerja.
     Insya-Allah akan saya catatkan apa-apa yang saya rasakan dapat dikongsikan dengan teman semua, khasnya teman PUSPANITA. Semoga blog ini akan mendatangkan manfaat dan kebaikan untuk kita bersama.