Wednesday, April 24, 2013

Catatan dari Pinggir Kota 4

Suami saya sedang menyimen. Orang itu berdiri di tempat yang bertanda X, di depan
pintu rumah saya. Dia memandang ke sebelah kanan, rumah jiran saya yang cantik itu.
Pencuri, Pengintip, Penjahat?

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum rakan PUSPANITA dan pembaca yang dirahmati Allah. 
     Mungkin agak menghairankan tajuk post saya ini. Tapi, itulah yang berlaku petang semalam. Dan, saya masih berdebar sehingga ke hari ini. Begini ceritanya:
      - Selepas menghantar anak ke kelas tusyen, saya balik ke rumah, lebih kurang pukul 5.30 petang. Semasa keluar tadi, saya memang tidak menutup pagar, supaya bila balik, saya terus masuk dan tak perlu turun kereta untuk buka tutup pagar. Saya masuk ke dalam rumah dan mengunci grill dan pintu hadapan. Dahaga, saya terus ke dapur. Semasa sedang minum, saya dengar seperti ada orang berjalan di hadapan rumah. Bunyi geseran selipar jelas kedengaran. Saya agak, mungkin anak jiran sebelah keluar jemur pakaian.
     Sekilas memandang ke hadapan rumah, saya ternampak kelibat seseorang masuk ke kawasan rumah. Saya mengintai melalui celahan langsir yang sedikit terbuka. Nampak motosikal, tapi bukan motosikal suami saya. Kemudian saya nampak seseorang bertopi keledar sedang melihat ke arah dinding rumah, yang bersebelahan dengan jiran saya.
     Saya beranikan diri, membuka pintu dan segera menegur orang itu. (Tapi, grill masih berkunci).
     "Ye. Ada apa?" Saya tanya.
Mendengar suara saya, serta-merta dia melangkah ke motosikal dan kelam-kabut berlalu dari situ. Saya berdebar. Segera mencari kunci kereta, mencapai tudung dan menghidupkan kereta. Saya cuba mengejar untuk melihat nombor pendaftaran motosikal itu. Tapi saya terlambat. Dia hilang entah ke mana.
     Saya menceritakan hal itu kepada suami yang tiba ke rumah tidak lama selepas itu. Kata suami, lain kali jangan berani-berani mengejar orang yang tak dikenali. Mana tahu, dia ada senjata. Merbahaya! Masa tu saya memang tidak teringat bahaya. saya tahu dia berniat jahat, dan saya mahu dia ditangkap.
     Kata suami lagi, mungkin dia tidak berniat apa-apa ke atas rumah kami. Tapi, dia mengintai rumah jiran saya. maklumlah, rumah tu nampak mewah setelah diubah-suai ratusan ribu ringgit. Rumah kami, tak ada apa-apa pun nak diintai. Tengok dari luar pun orang dah tahu apa isi di dalam. Rumah jiran saya tu, siap dengan kamera dan CCTV. Mungkin dia sedang memerhatikan kedudukan kamera, dan sedang merancang sesuatu.
     Saya tidak terfikir pula, lebih baik menelefon pihak polis semasa orang itu masih berada di kawasan rumah saya.
     Ini peringatan untuk saya: Apa-apa hal pun, mesti tutup pagar, dan sentiasa berwaspada dengan keadaan sekeliling.
     Ini juga antara cabaran yang perlu saya hadapi sebagai suri rumah sepenuh masa. Semoga menjadi pengajaran juga untuk pembaca semua.   
    

No comments:

Post a Comment