Thursday, May 30, 2013

Catatan dari Pinggir Kota 16

Mengapa Membazir?


Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum rakan PUSPANITA dan pembaca yang dirahmati Allah.

"Sesungguhnya, orang-orang yang membazir itu adalah saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhan." (Surah Al-Israa, ayat 27).

Seperti biasa, setiap pagi, saya dan suami akan berdua-duaan di sebuah restoran mamak. Kami minum pagi sebelum suami ke tempat kerja. Rutin begini berterusan sejak sekian lama. Alhamdulillah, ikatan kami semakin erat, semakin mesra.
      Sebenarnya, yang ingin saya kongsikan di sini bukanlah hal saya dan suami, tapi sesuatu yang membuatkan saya insaf, sekaligus rasa geram. Setiap pagi kami di restoran itu, ada pelanggan lain yang setiap pagi juga ada di situ. Antaranya, seorang ibu muda dengan seorang anak yang berpakaian sekolah. Saya perhatikan, daripada gaya dan lagaknya, dia orang yang "ada-ada". Berkereta yang agak mahal (bukan kereta mewah pun), park terus depan restoran, duduk dan order. Roti canai dan teh tarik, kadang-kadang nescafe.
      Si ibu ni minum tak pernah habis. Dia hanya minum suku gelas. Makan pun hanya sesuku bahagian roti canai. Apabila anaknya habis minum (kadang-kadang tak habis juga), dia panggil mamak (sebenarnya orang lain bayar di kaunter), bayar dan bergegas masuk kereta. Mula-mula dulu, saya andaikan bahawa dia terlambat dan perlu segera hantar anak ke sekolah. Tapi, lepas tu, setiap pagi saya nampak dia mengamalkan perkara yang sama.
      Saya hanya beristighfar, dan berkali-kali mengingatkan diri sendiri supaya saya tidak menjadi seperti itu, membazirkan rezeki yang Allah kurniakan. Saya berkata-kata sendirian, kalau begitu tak payahlah minum. Cukuplah sekadar menemankan anak. Kalau duit dah berlebihan sangat, dah tak tahu nak buat apa-apa, dermakan kepada pihak yang memerlukan. Berhampiran restoran tu pun ada pusat tahfiz yang dihuni oleh anak-anak yatim. Mereka sangat memerlukan bantuan. Saya terbayangkan saudara-saudara Islam yang lain, di negara-negara yang dilanda musibah, banyak yang mati kerana tidak dapat makan. Masya-Allah!




Tuesday, May 28, 2013

Catatan dari Pinggir Kota 15

Dato' Baha Zain, Sasterawan Negara ke-12

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum rakan PUSPANITA dan pembaca yang dirahmati Allah.
Sasterawan ulung tanah air Datuk Baharuddin Zainal, lebih dikenal dengan nama pena Baha Zain akan menerima Anugerah Sastera Negara pada malam ini. Anugerah akan disampaikan oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong.
     Suami saya bertugas malam ni. Tak tahulah pukul berapa sampai balik ke rumah nanti. Saya doakan keselamatan suami dan rakan-rakan semasa bertugas dan selamat sampai kembali ke rumah.
    Sasterawan Negara yang ke-12 itu akan menerima wang tunai sebanyak RM60,000, Watikah Penghormatan Negara dan mendapat tajaan RM500,000 bagi menerbitkan 50,000 naskah karya beliau untuk diedarkan ke sekolah, jabatan dan agensi kerajaan.
    Kata suami, selain hadiah itu, Dato' Baha Zain juga akan menerima kemudahan perubatan percuma wad kelas satu di mana-mana hospital kerajaan, kemudahan dan keselesanan untuk mencipta karya sastera, menerbitkan karya serta penterjemahaan karya yang sesuai ke dalam bahasa asing.    
     Dato' Baha Zain, anak kelahiran Hutan Melintang, Perak, berusia 73 tahun itu. Beliau berkarya sejak di sekolah menengah dan mula dikenali menerusi karyanya yang berjudul 'Perempuan dan Bayang-Bayang' yang dihasilkan pada tahun 1974.
     Antara kejayaan peribadi beliau dalam dunia sastera adalah menerima Anugerah Tokoh Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) 2011, Anugerah Penulis Asia Tenggara (SEA Write Award) 1980 selain Anugerah Tokoh Pejuang Bahasa (Persatuan Linguistik Malaysia) 2004 dan Anugerah Budaya Gapena pada 2008.
     Tahniah saya ucapkan kepada Dato' Baha.

Monday, May 27, 2013

Catatan dari Pinggir Kota 14

Ustaz Kazim Elias (2)

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum rakan PUSPANITA dan pembaca yang dirahmati Allah.

Terharu dan sangat meninggalkan kesan dalam diri saya apabila Ustaz bercerita tentang pengorbanan seorang ibu. Betapa ibu sangat perlu dihormati dan disayangi, termasuk bapa juga. Kisah yang Ustaz sampaikan meningatkan saya kepada berita akhbar, tentang seorang artis lelaki yang bertelagah dengan ibunya. Saya sangat sedih, membayangkan saya sebagai ibu diperlakukan oleh seorang anak yang dibesarkan dengan penuh kasih sayang. Dijaga dari kecil dengan penuh belaian, tapi setelah dewasa, ibu dijadikan musuh.
     Patutkah seorang anak berkata bahawa dia tidak perlu memohon maaf, sebaliknya emaknyalah yang perlu memohon maaf daripadanya. Saya dapat bayangkan betapa hancur luluh hati ibu berkenaan apabila membaca berita itu.
     Berbalik kepada ceramah Ustaz, terharu juga mendengar kisah silamnya. Ustaz Kazim dilahirkan pada tahun 1972. Bapanya meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya ketika usianya lapan bulan, seperti yang didengar daripada ibunya. Kemalangan itu berlaku tidak jauh dari rumah mereka. Malah, ibu Ustaz turut meninjau-ninjau dari tingkap rumah sambil mendukungnya, melihat kejadian yang berlaku, tanpa mengetahui bahawa mangsa kemalangan itu bapa Ustaz.
      Sejak itu, Ustaz dibesarkan oleh ibunya dalam keadaan yang serba kekurangan. Kekurangan itu menjadikan Ustaz tabah dan berazam untuk membela dan membalas jasa ibu yang bersusah payah membesarkannya.

Catatan dari Pinggir Kota 13

Ustaz Kazim Elias (1)


Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum rakan PUSPANITA dan pembaca yang dirahmati Allah.

Ahad lepas, selesai solat Maghrib, masjid di tempat saya penuh sesak. Jemaah semakin ramai hingga tempat meletak kereta penuh. Tidak ada lagi ruang untuk jemaah yang datang lewat. Sehinggakan, lorong untuk laluan pun turut menjadi tempat meletak kenderaan. Suasana begini hanya berlaku apabila tiba masa sembahyang sunat solat hari raya.

     Tetapi, malam itu suasana sesak kerana jemaah tidak mahu melepaskan peluang untuk mendengar ceramah daripada penceramah bebas, Ustaz Kazim Elias. Suami membawa saya dan anak-anak untuk bersama-sama dalam majlis ilmu itu. Memang, saya tahu, cerita Uztaz Kazim agak "panas" apabila tersiar berita dalam akhbar tentang ugutan bunuh yang diterima melalui sms. Saya bukan nak ambil kisah tentang hal itu. Sebelum pergi ke masjid, suami mengingatkan saya dan anak-anak, "Kita ke sana macam biasa, untuk menunaikan solat. Kebetulan, ada ceramah daripada Ustaz Kazim. Kita dengarlah. Jangan peduli hal lain."
     Saya sangat bersetuju dengan kata-kata suami itu. Saya hanya mahu berada dalam majlis ilmu. Saya mahu menambahkan pengetahuan. Saya tak kisah siapa yang berceramah. Selalunya pun, kami mendengar ceramah daripada ustaz lain yang dijemput oleh jawatankuasa masjid. Yang penting, ilmu yang diperoleh, dan diharapkan mendapat keberkatan.


Monday, May 13, 2013

Catatan dari Pinggir Kota 12


Ustaz Don Daniyal di DBP
 
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum rakan PUSPANITA dan pembaca yang dirahmati Allah.
 
Seronoknya apabila suami kata, esok Ustaz Don diundang menyampaikan ceramah di DBP. Kalau saya masih berkhidmat di sana, sayalah yang akan menjadi orang pertama duduk di kerusi Auditorium DBP. Walau bagaimanapun, saya harap suami saya akan dapat menyampaikan apa-apa yang didengari dan pengajaran yang diperolehi dariapa ceramah Ustaz kesukaan ramai itu.

Catatan dari Pinggir Kota 11


Hari Lahir & Hari Ibu
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum rakan PUSPANITA dan pembaca yang dirahmati Allah.

Bulan ini saya mendapat dua kali ucapan selamat. "Selamat Hari Lahir" dan "Selamat Hari Ibu".
Anak-anak dan suami yang pertama mengucapkannya. Saya bukanlah mengharapkan ucapan tersebut daripada mereka, tetapi apabila menerima ucapan itu, hati berasa seronok. Terasa diri ini dihargai dan dihormati, sebagai isteri dan sebagai ibu.
     Apabila ucapan selamat lahir dari mulut seorang suami, apa lagi yang hendak dikatakan. Ucapan terima kasih dan penghargaan daripadanya cukup bermakna. Itulah lambang kasih dan sayang dalam kehidupan berumah tangga. Semoga hidup kami akan kekal abdi.
     "SELAMAT HARI IBU KEPADA SEMUA AHLI PUSPANITA"

Thursday, May 2, 2013

Catatan dari Pinggir Kota 10

30 Minit Ustaz Don
 
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum rakan PUSPANITA dan pembaca yang dirahmati Allah.
 
Seboleh-bolehnya, saya tidak mahu ketinggalan siri ini, kecuali ada hal yang menghalang. Banyak perkara dan pengajaran yang terkandung dalam program ini. Ada yang memang kita lupa, lalu dapat mengingatinya semula jika kena dengan tajuk yang dibincangkan.
     Saya petik post dari facebook Ustaz Don (Saya mohon maaf kepada Ustaz Don, dan minta kebenaran untuk share post ini):
 
Hadith dari Abi Said RA..
     "Sungguh apabila seorang suami memandang isterinya (dengan rasa kasih sayang) dan isterinya juga memandang suaminya (dengan rasa kasih sayang), maka Allah akan memandang keduanya dengan pandangan kasih sayang. Dan apabila suami memegang tapak tangan isterinya, maka dosa-dosa mereka keluar dari celah-celah jari mereka.”
Al-Hadith....

Wednesday, May 1, 2013

Catatan dari Pinggir Kota 9

Tat Nanas Saya ke China
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum rakan PUSPANITA dan pembaca yang dirahmati Allah.

Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Kak Zaiton Abu Samah, pegawai DBP yang menempah Tat Nanas untuk dikirimkan ke China. Tat Nanas itu dikirimkan kepada seorang pegawai DBP, rakan Kak Ton yang kini sedang bertugas di Radio Beijing. Kiriman melalui Kak Raja Bi Nordin yang mengetuai rombongan melawat Beijing baru-baru ini. Terima kasih juga kepada Kak Bi.

Catatan dari Pinggir Kota 8

 
Tokoh Persuratan Melayu
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum rakan PUSPANITA dan pembaca yang dirahmati Allah.

Saya menghadiri Majlis Pelancaran DVD Tokoh Persuratan Melayu terbitan Bahagian Multimedia DBP pada 1 Mei 2013, di Pentas Utama, Legar Putra, PWTC. Kebetulan 1 Mei hari lahir saya.
     Allahyarham Dato' Hassan memang tidak asing bagi saya. Saya bekerja di DBP semasa Allahyarham menjadi Ketua Pengarah. Arwah seorang tokoh bahasa yang disegani. Saya mengkagumi perjuangan beliau dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu.
     Tokoh-tokoh lain - Profesor Emeritus Dr. Abdullah Hassan, Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim dan Profesor Emeritus Datuk Abu Bakar Abd. Hamid juga banyak menyumbang untuk mendaulatkan bahasa Melayu.
     Profesor Emeritus Datuk Abu Bakar Abd. Hamid antara penggerak utama bagi penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia, yang ditubuhkan bagi tujuan menjadikannya sebagai institusi pengajian tinggi yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa utama.
     Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim adalah aktivis wanita yang aktif dan banyak melibatkan diri dalam hal ehwal wanita.
     Profesor Emeritus Dr. Abdullah Hassan menerima Anugerah Tokoh Ilmuwan Bahasa daripada Dewan Bahasa dan Pustaka kerana sumbangannya dalam memartabatkan dan mendaulatkan bahasa Melayu.
    DVD dokumentari yang memaparkan sejarah hidup dan perjuangan empat tokoh ini wajar dimiliki. Pastinya sebagai rujukan dan pedoman kepada generasi baru, terutamanya anak-anak kita supaya mereka mengenali tokoh dan pejuang bahasa Melayu, tidak hanya leka dengan teknologi semasa yang lebih banyak menghayalkan dan melekakan mereka. 
"Cintai Bahasa Kita"
"Bahasa Jiwa Bangsa"