Monday, May 27, 2013

Catatan dari Pinggir Kota 13

Ustaz Kazim Elias (1)


Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum rakan PUSPANITA dan pembaca yang dirahmati Allah.

Ahad lepas, selesai solat Maghrib, masjid di tempat saya penuh sesak. Jemaah semakin ramai hingga tempat meletak kereta penuh. Tidak ada lagi ruang untuk jemaah yang datang lewat. Sehinggakan, lorong untuk laluan pun turut menjadi tempat meletak kenderaan. Suasana begini hanya berlaku apabila tiba masa sembahyang sunat solat hari raya.

     Tetapi, malam itu suasana sesak kerana jemaah tidak mahu melepaskan peluang untuk mendengar ceramah daripada penceramah bebas, Ustaz Kazim Elias. Suami membawa saya dan anak-anak untuk bersama-sama dalam majlis ilmu itu. Memang, saya tahu, cerita Uztaz Kazim agak "panas" apabila tersiar berita dalam akhbar tentang ugutan bunuh yang diterima melalui sms. Saya bukan nak ambil kisah tentang hal itu. Sebelum pergi ke masjid, suami mengingatkan saya dan anak-anak, "Kita ke sana macam biasa, untuk menunaikan solat. Kebetulan, ada ceramah daripada Ustaz Kazim. Kita dengarlah. Jangan peduli hal lain."
     Saya sangat bersetuju dengan kata-kata suami itu. Saya hanya mahu berada dalam majlis ilmu. Saya mahu menambahkan pengetahuan. Saya tak kisah siapa yang berceramah. Selalunya pun, kami mendengar ceramah daripada ustaz lain yang dijemput oleh jawatankuasa masjid. Yang penting, ilmu yang diperoleh, dan diharapkan mendapat keberkatan.


No comments:

Post a Comment