Ustaz Kazim Elias (2)
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum rakan PUSPANITA dan pembaca yang dirahmati Allah.
Terharu dan sangat meninggalkan kesan dalam diri saya apabila Ustaz bercerita tentang pengorbanan seorang ibu. Betapa ibu sangat perlu dihormati dan disayangi, termasuk bapa juga. Kisah yang Ustaz sampaikan meningatkan saya kepada berita akhbar, tentang seorang artis lelaki yang bertelagah dengan ibunya. Saya sangat sedih, membayangkan saya sebagai ibu diperlakukan oleh seorang anak yang dibesarkan dengan penuh kasih sayang. Dijaga dari kecil dengan penuh belaian, tapi setelah dewasa, ibu dijadikan musuh.
Patutkah seorang anak berkata bahawa dia tidak perlu memohon maaf, sebaliknya emaknyalah yang perlu memohon maaf daripadanya. Saya dapat bayangkan betapa hancur luluh hati ibu berkenaan apabila membaca berita itu.
Berbalik kepada ceramah Ustaz, terharu juga mendengar kisah silamnya. Ustaz Kazim dilahirkan pada tahun 1972. Bapanya meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya ketika usianya lapan bulan, seperti yang didengar daripada ibunya. Kemalangan itu berlaku tidak jauh dari rumah mereka. Malah, ibu Ustaz turut meninjau-ninjau dari tingkap rumah sambil mendukungnya, melihat kejadian yang berlaku, tanpa mengetahui bahawa mangsa kemalangan itu bapa Ustaz.
Sejak itu, Ustaz dibesarkan oleh ibunya dalam keadaan yang serba kekurangan. Kekurangan itu menjadikan Ustaz tabah dan berazam untuk membela dan membalas jasa ibu yang bersusah payah membesarkannya.
No comments:
Post a Comment